UMS Sport Science

Ums Sport Science Slideshow: Gsport’s trip from Tawau, Sabah, Malaysia to 2 cities and Kota Kinabalu was created by TripAdvisor. See another Malaysia slideshow. Create your own stunning free slideshow from your travel photos.

Monday 13 June 2011

PERMASALAHAN DALAM SUKAN BOLA SEPAK MALAYSIA

Dilihat dari aspek kecergasan semua pemain ketika sesi ujian dijalankan di ISN sebelum kekalahan pasukan Negara di tangan UAE, hanya tiga pemain yang melepasi had kecergasan yang ditetapkan untuk perlawanan antarabangsa. Pemain-pemain yang dipilih untuk pasukan kebangsaan sebenarnya kelihatan tidak berstamina atau tidak bertenaga. Jika dilihat dalam perlawanan-perlawanan membabitkan pasukan kebangsaan, pergerakan pemain kelihatan tidak bertenaga, tidak kelihatan sasa dan mudah jatuh apabila diasak secara fizikal oleh pemain lawan, Jika dilihat pada pesembahan pemain-pemain dahulu seperti Jamal Nasir, Mokhtar Dahari atau Abdullah Ali, mereka tidak mudah jatuh, sangat lasak, agresif, sangat rajin dalam pergerakan walaupun serendah Wan Zawawi atau Hamzah Husin tetapi pemain yang ada pada hari ini tidak seperti itu. Ini menunjukkan gaya pergerakan dan larian sebenarnya adalah aspek stamina yang boleh dibentuk. Pemain yang ada dalam pasukan kebangsaan kini masih tidak terbentuk dari segi kecergasan. Pada pandangan saya untuk bermain di pertandingan bertaraf dunia, pemain-pemain bola sepak Malaysia mesti mampu bermain selama 180 minit secara bertenaga dan aggresif seperti pemain Korea Selatan dan Jepun.
Kelemahan kedua yang sangat ketara ialah faktor kemahiran (skill) yang lemah. Dari apa yang dilihat beberapa tahun kebelakangan ini pemain-pemain Malaysia sangat lemah dari segi kemahiran permainan bolasepak. Hantaran yang tidak tepat, kawalan bola yang longgar, cara menampan bola yang lemah dan paling utama tendangan yang sering tidak menepati sasaran. Bayangkan pasukan bola sepak kebangsaan mempunyai pemain yang tidak menguasai kemahiran asas bola sepak. Ini menyebabkan jurulatih terpaksa mengajar semula kemahiran-kemahiran asas ini kepada pemain-pemain. Pemain ini juga dipilih kerana corak permainan mereka mengikut kehendak jurulatih tetapi kemahiran asas bagi pemain tersebut tidak begitu baik.



 Akibat dari kekurangan kemahiran ini, sering berlaku hantaran yang tidak tepat, kawalan bola yang longgar, cara menampan bola yang lemah dan paling utama tendangan yang sering tidak menepati sasaran semasa perlawanan dan ini menjejaskan corak permainan pasukan (Nash, 2003).
Kemahiran berfikir yang cukup lemah juga merupakan antara faktor yang menghantui kredibiliti pasukan kebangsaan. Lemah dalam membuat keputusan dalam permainan akhirnya permain menjadi hilang fokus. Kelemahan ini seringkali dimanipulasi oleh pasukan lawan. Apa yang sering berlaku pemain-pemain kini bermain " asal kejar bola dan asal dapat sentuh bola" maka itulah bermain bolasepak. Peminat merasa hairan kenapa pengurus dan jurulatih tidak nampak perkara ini? Atau sudah berkemahirankah pemain yang mereka bimbing itu sebenarnya? Akibat hilang fokus, pemain sering kali kehilangan bola dan pemain lawan sering menggunakan kelemahan ini untuk memerangkap skuad kebangsaan.
Program Nutrisi Sukan untuk pasukan bola sepak bawah 15, 16 dan 17 kebangsaan di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil bulan lalu seakan-akan membuka pekung kepada punca kelemahan kecergasan para pemain bola sepak kebangsaan. Bagaikan kilat memancar, terbit satu persoalan. Adakah kelemahan aspek penjagaan makanan di pasukan negeri atau kelab yang bersaing di Liga M menjadi punca pemain kurang cergas? 


Jika difikir secara logik, pastinya program yang dijalankan ISN (kebanyakannya berkisar tentang diet makanan yang perlu diambil seseorang atlet) dititik berat serta dilaksanakan di dalam pasukan kebangsaan ketika para pemain ini dikumpulkan menjelang mana-mana perlawanan antarabangsa. Dan jika setiap apa yang didedahkan di dalam program itu diamalkan di dalam skuad kebangsaan, maka, tidak hairanlah skuad kebangsaan kelihatan cergas dan berjaya memberi tentangan ketika menghadapi Chelsea dan memikul tugasan di Piala AFF Suzuki sekalipun tewas. Berbeza dengan kekalahan baru-baru ini di tangan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), pemain negara yang tidak sampai seminggu dibimbing bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan dilihat seakan tidak bermaya selain longlai diratah UAE. Dalam tempoh seminggu menjelang aksi perlawanan kelayakan Piala Asia menentang UAE itu - dan kebanyakan pemain baru menyelesaikan aksi di Liga M - apa yang mampu dilaksanakan Sathianathan dan pasukan kejurulatihannya? Jika ini diambil kira, adakah para pemain yang kurang cergas itu berpunca daripada kegagalan mengawal aspek nutrisi sukan mereka walaupun menjalani latihan yang betul? Maka, timbul satu lagi persoalan, jika ini menjadi puncanya, adakah pentadbiran pasukan negeri atau kelab yang bersaing di Liga M menjadi dalang terhadap semua perkara ini? Contoh ketara yang boleh dilihat, ketika skuad Harimau Malaya menentang Chelsea dan Piala AFF Suzuki, para pemain dilihat mampu beraksi 90 minit tanpa mengalami sebarang kekejangan. Namun sebaik sahaja mereka turun beraksi di Liga Malaysia, yang lebih perlahan rentaknya, ada saja pemain yang mengalami kekejangan ketika waktu permainan baru mencecah ke angka 75 minit. Lebih parah, juruperunding Pusat Nutrisi Sukan, Institut Sukan Negara (ISN), Dr. Zsuzsanna Fajcsak mendedahkan, atlet Malaysia, berdepan dengan lebih banyak dilema ekoran kepelbagaian pilihan makanan yang ada di negara ini. Malaysia terkenal dengan keunikan pilihan makanan yang pelbagai dan mudah untuk diperoleh, jadi, atlet negara ini perlu lebih berhati-hati memilih makanan agar prestasi mereka tidak terganggu. Kesilapan memilih makanan bukan sahaja akan mengganggu prestasi malah bakal memberi kesan fizikal kepada atlet (Serpa, 1999). Setiap atlet perlu tahu mengenai khasiat pemakanan yang diambil bagi memastikan mereka sentiasa berada di tahap terbaik.
Sistem liga terutama dari segi pengadilan juga menjadi masalah bola sepak di Malaysia. Persatuan Bola Sepak Malaysia perlu melihat ini sebagai perkara yang utama. Sering kita lihat di dada akhbar jurulatih pasukan negeri mempertikaikan keputusan pengadil. Pengadilan merupakan faktor besar pengaruhi setiap corak pemain apabila berada di padang. Emosi pemain perlu dikawal, hanya 'pengadilan' mengikut corak Eropah sahaja dapat menghasilkan mutu bola sepak yang berjaya.Kursus pengadilan perlu dilihat semula, praktikal atau teori perlu mengikut peraturan terbaik, namun kita perlu melihat dalam konteks antarabangsa, apabila seseorang pengadil turun ke padang dia perlu menjadikan dirinya seperti pengadil antarabangsa. Namun apabila pemain ini diterjemahkan ke dalam corak sistem Liga Malaysia, pengaruh bermain secara Eropah akan hilang sedikit demi sedikit akibat faktor pengadilan yang tidak baik. Prestasi pemain dan individu itu akan menurun dengan secara mendadak, ini adalah kerana emosi pemain itu tidak dapat dikawal dengan baik oleh setiap pengadil (Robert, 1992). Apabila emosi menguasai di padang, akibatnya bukan bola yang dicari namun kaki yang dicari. Apabila pemain itu melakukan kekasaran perlu diberikan wisel dengan segera, melakukan kedua kali, kad kuning perlu diberi, melakukan kali ketiga, perlu diberi kad merah. Kesesuaian amaran, kad kuning dan merah perlu dilakukan mengikut kekasaran yang dilakukan oleh pemain tersebut. Pengadil perlu bijak melaksanakannya. Walaupun setiap perlawanan tersebut baru bermula, namun sekiranya salah satu pemain itu bermain dengan terlalu kasar, kad kuning perlu diberi supaya perkara itu tidak diulangi oleh pemain tersebut atau pemain-pemain yang lain, dengan cara ini setiap pemain dapat menghayati skil mereka dan mutu bermain mereka dengan lebih baik dan teknik serta corak diajar oleh jurulatih seperti B. Sathinathan dapat diterjemahkan dengan lebih baik dan berkesan. Pengadil merupakan polis padang yang paling berkesan mengasuh emosi pemain itu sendiri.
Sebagai peminat sukan di Malaysia, ramai peminat merasakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku badan induk bola sepak di negara ini wajar melakukan perubahan dalam organisasi bagi memulihkan imej dan maruah pasukan bola sepak negara. FAM amat berbangga dengan memori silam yang pernah menyaksikan skuad Malaysia digeruni lawan dan selalu mendendangkan lagu-lagu lama berkaitan prestasi Malaysia pada Sukan Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980. FAM, pada abad ke-21 ini perlu melakukan perubahan dan penyusunan dari segi kejurulatihan, kepimpinan, pemilihan pemain, pemakanan atlet, motivasi serta pemain pelapis. Antara cadangan yang wajar FAM fikirkan adalah dari segi kepimpinan yang mana memerlukan pemimpin baru yang mempunyai idea bernas, agresif serta berwawasan untuk memajukan sukan dan meningkatkan imej bola sepak negara yang semakin nazak. Usahlah FAM berbangga kerana mempunyai pegawai yang berkhidmat untuk Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tetapi menghadapi masalah dengan bola sepak negara yang memerlukan perubahan. FAM boleh melihat dan belajar daripada Persatuan Hoki Malaysia (PHM), Persatuan Renang Amatur Malaysia (SRAM), Konfederasi Boling Ten Pin Malaysia (MTBC) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Usah gah dengan bangunan Akademi Bolasepak FAM yang besar dan cantik serta kemudahan pelbagai tetapi bilangan pemain yang kecil, pegawai yang tidak komited kepada pembangunan sukan, pelajar dan atlet yang tiada inisiatif untuk meningkatkan kemahiran bola sepak, kurang semangat patriotik dan daya juang dalam diri, yang pentingkan hiburan dan keseronokan daripada memikirkan tanggungjawab kepada negara, pembayar cukai serta penonton yang sanggup membanjiri stadium hanya untuk menyaksikan skuad negara terus dibelasah dan menyaksikan permainan seperti budak sekolah menengah. Pemilihan jurulatih tempatan yang memahami aspek permainan dan fizikal pemain tempatan juga penting dalam membantu meningkatkan permainan bola sepak negara. FAM yang lebih cenderung dengan jurulatih import nampak seperti tidak belajar daripada kesilapan yang sama. Kenapa tidak mengeluarkan duit dengan menghantar jurulatih tempatan berlesen kelas A ke negara yang maju permainan mereka. Langkah itu lebih wajar kerana di samping menggalakkan jurulatih menimba ilmu dari pelbagai negara dan menambah bilangan jurulatih bertauliah, ia juga menaikkan tahap profesionalisme jurulatih itu sendiri. Biarlah FAM bermula sekarang daripada menunggu esok yang tidak pasti. FAM juga perlu mempunyai perancangan dalam meningkatkan bilangan pemain muda yang berpotensi.
Dalam kita merasa duka dengan kemerosotan pasukan senior kebangsaan, masih ada lagi sedikit perkara yang mengujakan iaitu prestasi skuad Harimau Muda dalam kancah Liga Perdana. Berdasarkan komen yang diberikan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta jurulatih Harimau Muda, inilah masanya skuad ini diserapkan dalam pasukan senior dan diberi pelbagai pendedahan melalui perlawanan persahabatan antarabangsa atau dihantar menjalani pemilihan dan latihan bersama kelab-kelab di Eropah atau di mana sahaja di dunia ini. Muda usia bukan bermakna mentah dari segi kematangan membaca corak permainan. Lihat saja Wayne Rooney, Theo Walcott yang bersama skuad England pada usia sebegini (16-18 tahun), dan beberapa pemain dari negara lain yang mewakili kelab dalam usia muda. Sudah tiba masanya FAM berhenti daripada memilih pemain berdasarkan umur. Iaitu skuad hanya umur 20 tahun ke atas layak mewakili pasukan senior dan umur 20 tahun ke bawah pula hanya untuk skuad pelapis atau remaja. Kalau pengalaman diukur berdasar usia seseorang pemain, bola sepak kita akan tetap berada di takuk sekarang.

No comments:

Post a Comment